APA NAK BUAT KALAU KENA SAMAN SIVIL?

Cuba bayangkan, sedang kita tengah duduk berehat di rumah, tiba-tiba ada orang datang. Bukak pintu, orang tu bagi kita satu surat. Bila baca, surat tu rupanya saman RM 100k ke atas kita. Alamak. Apa perlu buat?
Jangan panik.
Penulisan kali ini saya akan jelaskan apa yang perlu kita buat sekiranya menerima surat saman mahkamah.
Sebelum itu, kita kena tahu contoh-contoh tindakan sivil yang boleh dikenakan terhadap kita:
a. Saman fitnah
b. Kes tuntutan hutang
c. Kes tuntutan sewa rumah
d. Kes kemalangan jalan raya
e. Kes perlanggaran kontrak
LANGKAH PERTAMA: Pastikan dulu sama ada kita dah disaman ataupun bakal disaman.
Macam mana nak tahu?
a. Belum Disaman
Jika kita belum disaman tetapi bakal disaman, biasanya orang yang ingin menyaman kita akan menghantar satu surat yang dipanggil Notis Tuntutan [Letter of Demand] daripada peguam yang dia lantik.
Contoh Notis Tuntutan:

Notis Tuntutan berfungsi sebagai amaran terakhir sebelum saman diteruskan di mahkamah.
Jadi, kalau kita ada diserahkan dengan Notis Tuntutan, jangan panik dan yang penting jangan buat tak tahu.
Apa yang perlu dibuat adalah pergi dapat nasihat guaman. Lagi-lagi kalau kita rasa kandungan Notis Tuntutan tu tak betul dan ada penjelasan lain yang kita nak bagi.
Notis Tuntutan boleh diserahkan sama ada melalui serahan tangan, poslaju, A.R Berdaftar ataupun emel.
b. Sudah Disaman
Kalau nak tahu yang kita memang dah kena saman, instead of Notis Tuntutan, kita akan dapat Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan.
Contoh Writ Saman:

LANGKAH KEDUA: Semak bila dan di mana kita perlu hadir.
Boleh rujuk di cover letter peguam Plaintif yang dilampirkan bersama Writ Saman.
Defendan (Pihak Yang Disaman) perlu memfailkan Memorandum Kehadiran dalam masa 14 hari dari tarikh terima Writ Saman tu.
Macam mana nak failkan Memorandum Kehadiran?

LANGKAH KETIGA; Lantik Peguam
Kalau kita rasa ada pembelaan atau penjelasan yang kuat terhadap saman tu, maka langkah seterusnya adalah untuk melantik peguam bagi mewakili kita dalam tindakan tersebut.
Peguam yang akan failkan Memorandum Kehadiran tu nanti. Boleh juga nak dapatkan nasihat peguam di peringkat notis tuntutan pun. Lebih mudah.
APA YANG AKAN TERJADI KALAU KITA GAGAL HADIR KE MAHKAMAH?
Jika kita tak pedulikan saman yang diterima atau gagal hadir ke mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan, Plaintif boleh memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran terhadap kita.
Kesannya?
Kita kalah sebelum masuk gelanggang lagi. Apabila pihak Plaintif sudah ada Penghakiman Ingkar Kehadiran, Plaintif boleh gunakan Penghakiman tersebut untuk laksanakan pelaksanaan Penghakiman terhadap kita.
Contoh pelaksanaan penghakiman:
a. Saman Penghutang Penghakiman (kita boleh dipenjara sebab tak bayar hutang)
b. Tindakan kebankrapan (jika jumlah penghakiman melebihi RM 100,000)
c. Writ Penyitaan dan Penjualan Harta Boleh alih (barang-barang milik kita contohnya perabot rumah boleh dijual untuk selesaikan jumlah penghakiman)
d. Writ Penyitaan dan Penjualan Harta tak alih (apa-apa hartanah mungkin boleh dijual untuk selesaikan jumlah penghakiman)
e. Garnishee Proceedings
f. Writ Penghantaran
Harapnya penulisan ini sedikit sebanyak dapat membantu orang awam dalam memahami prosedur undang-undang sivil dengan lebih jelas. Supaya kita lebih tahu apa nak buat jika berada dalam situasi ini.
Semoga bermanfaat.