PROSEDUR KES SIVIL DI MAHKAMAH

Situasi:
Anda telah melantik peguam untuk memulakan kes terhadap seorang individu yang telah melanggar kontrak perjanjian. Sudah 3 bulan berlalu, anda ingin tahu status kes anda. Apa yang perlu anda tahu?
– Saman fitnah
– Tuntutan hutang
– Kes kemalangan jalan raya
– Perlanggaran kontrak
Peringkat pertama – MEMFAILKAN SAMAN
Apa yang perlu difailkan?
Plaintif akan memfailkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan. Selepas Writ Saman telah diekstrak dan nombor kes telah dijana, Plaintif perlulah membuat serahan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan tersebut kepada Defendan. Pada ketika ini, Pengurusan Kes pertama telah pun ditetapkan oleh Mahkamah. Kebiasaannya dalam tempoh sebulan dari tarikh pemfailan.
Apabila serahan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan telah dibuat oleh Plaintif kepada Defendan, Defendan perlulah memasukkan Memorandum Kehadiran dan perlu hadir ke Pengurusan Kes yang telah ditetapkan.
Semasa Pengurusan Kes tersebut, Mahkamah akan mengarahkan Defendan untuk memfailkan Pernyataan Pembelaan dan Plaintif untuk memfailkan Jawapan Kepada Pembelaan. Tarikh Pengurusan Kes seterusnya akan diberikan terus. Biasanya dalam tempoh sebulan lebih.
Oleh itu, secara ringkasnya, pemfailan kertas kausa adalah seperti berikut:
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan (Plaintif) -> Memorandum Kehadiran (Defendan) -> Pernyataan Pembelaan (Defendan) -> Jawapan Kepada Pembelaan ( Plaintif)
Kesemua kertas kausa yang dinamakan di atas dikenali sebagai pliding. 14 hari selepas Jawapan Kepada Pembelaan telah difailkan oleh Defendan, keadaan ini dipanggil sebagai pliding sudah ditutup.
Peringkat Kedua – BICARA PENUH
Semasa Pengurusan Kes kedua, kedua-dua pihak akan memaklumkan kepada Mahkamah bahawa pliding telah ditutup dan tiada apa-apa permohonan intelokutori akan dimasukkan oleh kedua-dua pihak. Maka, kes itu boleh diteruskan kepada Bicara Penuh.
Mahkamah akan memberikan arahan kepada kedua-dua pihak untuk memfailkan dokumen pra-bicara.
Dokumen pra-bicara adalah seperti berikut:
1) Ikatan Pliding
2) Ikatan Dokumen Bersama
3) Ringkasan Kes
4) Fakta-fakta yang dipersetujui
5) Isu-isu untuk dibicarakan
6) Senarai saksi
Biasanya Mahkamah akan memberikan kedua-dua pihak tempoh dalam masa sebulan hingga 2 bulan (mungkin lebih lama bergantung kepada beberapa faktor seperti jadual masa Mahkamah, kerumitan kes dan lain-lain) bagi menyelesaikan dokumen pra-bicara tersebut dan tarikh Pengurusan Kes seterusnya akan ditetapkan.
Pada Pengurusan Kes ketiga itu, sekiranya pihak-pihak sudah membuat pertukaran Ikatan Dokumen masing-masing dan semua dokumen pra-bicara telah difailkan, maka Mahkamah akan mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan dan menukarkan Pernyataan Saksi masing-masing. Satu lagi Pengurusan Kes akan ditetapkan bagi mengemaskini status arahan mengenai Pernyataan Saksi yang telah diberikan. Biasanya, tarikh untuk Bicara Penuh juga akan ditetapkan terus bagi memudahkan semua pihak kerana sekiranya lambat ditetapkan, nanti jadual Mahkamah akan penuh dan tarikh yang lambat akan diberikan. Bergantung kepada jadual Mahkamah dan pihak-pihak, tarikh Bicara Penuh biasanya akan diberikan dalam tempoh 2, 3 bulan dari hari tersebut.
Bilangan hari Bicara Penuh pula akan bergantung kepada berapa jumlah saksi yang akan dipanggil oleh kedua-dua belah pihak. Kebiasaannya, Mahkamah akan menetapkan 3 hari Bicara dahulu. Sekiranya perlu tambah, akan ditambah selepas tamat 3 hari tersebut. Saksi dari pihak Plaintif akan dipanggil terlebih dahulu. Bila semua saksi Plaintif sudah memberikan keterangan, pihak Plaintif akan tutup kes dan Defendan akan memanggil saksi bagi pihak Defendan pula.
Peringkat Ketiga – HUJAHAN DAN KEPUTUSAN KES
Selepas kesemua saksi dari pihak Plaintif dan Defendan telah pun memberikan keterangan mereka dan Defendan telah tutup kes, maka Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan Hujahan Bertulis dan Hujahan Balas masing-masing. Tempoh yang diberikan untuk Hujahan Bertulis difailkan biasanya sebulan atau sebulan lebih dari tarikh akhir Bicara Penuh manakala Hujahan Balas pula 14 hari dari tarikh Hujahan Balas.
Tarikh keputusan pula akan ditetapkan kebiasaannya sebulan atau 2 bulan dari tarikh Hujahan Balas. Ini juga bergantung kepada Mahkamah di peringkat mana. Sebagai contoh, jika kes di peringkat Mahkamah Majistret atau Sesyen, selepas Hujahan Balas, tarikh Keputusan akan ditetapkan terus. Namun, jika kes di peringkat Mahkamah Tinggi, kebiasaannya Mahkamah akan menetapkan satu lagi tarikh untuk Klarifikasi selepas Hujahan Balas difailkan dan barulah tarikh Keputusan kes ditetapkan.
Maka, begitulah secara ringkasnya prosedur untuk kes sivil secara amnya. Namun, harus diingat, prosedur di atas mengambil kira keadaan-keadaan berikut:-
1. Kes dimulakan dengan Writ Saman dan bukannya Saman Pemula.
2. Tiada sebarang permohonan intelokutori dari awal sehingga pelupusan kes.
3. Defendan tidak mempunyai tuntutan balas.
SILA AMBIL MAKLUM, bahawa penerangan di atas hanyalah sebagai contoh secara am semata-mata. Harus diingat, setiap kes adalah berbeza perjalanannya walaupun prosedurnya adalah sama. Ada kes yang cepat, ada kes yang ambil masa yang lama sedikit.
Semoga bermanfaat.